Cara Membuat Bebola Ayam Homemade

Semalam saya telah kongsikan cara membuat bebola ikan. Cara membuat bebola ayam sebenarnya adalah lebih kurang sama dengan pembuatan bebola ikan. Tetapi kali ini, bebola ayam saya adalah lebih cantik dan benar-benar seperti yang saya mahukan. Pengajarannya, guna pengisar kering atau food processor, jangan guna pengisar biasa. Penggunaan tepung pun hampir tidak perlu sebenarnya untuk pembuatan bebola ayam ini.

Mari kita lihat bahan dan cara membuat bebola ayam yang mudah dan sedap ini.

Continue reading

Ikan Selar Masak Lemak Kuning

Pagi tadi saya sempat memasak bekalan untuk si Farhan saya. Abang-abang kembar beliau juga sangat gemarkan masak lemak. Furqan yang lidah western itu pun boleh berselera makan nasi dengan lauk ini. Hari ini saya kongsikan cara saya memasaknya. Untuk anak-anak memang saya tidak menggunakan sos tiram. Garam pun secubit sahaja.

Ikan selar masak lemak

Ikan selar masak lemak

Bahan-bahan

6-7 ekor ikan bersaiz kecil
1 biji kentang bersaiz besar
1 batang lobak merah bersaiz sederhana
1 keping asam gelugor (asam keping)
Santan
Garam secukup rasa
1 sudu besar sos tiram
Sedikit air

Bahan ditumbuk/dikisar

2 inci kunyit
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 batang serai
1 sudu besar jintan manis
5-6 biji bawang merah
5-6 ulas bawang putih

Cara memasak

  1. Potong kentang dan lobak merah mengikut saiz yang anda suka. Kalau boleh potong sederhana besar. Kemudian rebus dengan sedikit air sehingga empuk.
  2. Tumbuk jintan manis dahulu sehingga lumat kemudian masukkan halia, lengkuas, kunyit dan segala bahan tumbuk secara satu persatu ke dalam lesung penumbuk, dan tumbuk segala bahan sehingga betul-betul halus.
  3. Apabila bahan tumbuk telah lumat dan kentang serta lobak merah telah empuk, masukkan bahan tumbuk itu ke dalam periuk bersama kentang dan lobak merah tadi. Biarkan mendidih seketika.
  4. Masukkan ikan, asam gelugor, kemudian masukkan santan.
  5. Masukkan sos tiram dan garam mengikut tahap kemasinan yang anda suka
  6. Masak dengan api sederhana, biarkan mendidih. Jangan sampai santan pecah minyak.
  7. Setelah mendidih dan ikan pun masak (dalam 10-15 minit), tutup api dan hidangkan.

Nota:

  1. Jika memasak untuk anak di bawah dua tahun, jangan gunakan sos tiram dan garam. Masakan ini jika dimasak dengan betul, sudah cukup rasanya.
  2. Jika menggunakan ayam atau daging, rebus ayam atau daging bersama kentang dan lobak merah serta bahan tumbuk bersama-sama, kemudian baru masukkan santan.
  3. Jika bahan-bahan tumbuk dikisar ( kalau guna food processor tanpa air jadi sama seperti ditumbuk), kentang dan lobak merah itu direbus sekali dengan bahan kisar sebab selalunya apabila kita menggunakan pengisar makanan, kita perlu menambahkan air supaya mudah untuk mesin itu mengisar makanan. Langkah ini adalah untuk mengurangkan kandungan air berlebihan maka masak lemak tidak akan menjadi begitu cair apabila ditambah santan nanti.
  4. Jika ingin pedas, tambahkan 7-8 cili padi mengikut kepedasan yang anda suka.
Qider Firdaus
Bandar Baru Bangi 

p(^_^)q

gambaru!