Mana buku ummi?

Ummi memang gemar membaca. Dari kecil lagi ummi suka menghabiskan duit dengan membeli buku. Pantang sahaja berita pesta buku sampai ke pengetahuan, ummi sanggup memujuk tokwan atau menapak seorang diri ke pesta buku tersebut. Pernah ummi dimarahi tokwan kerana menghabiskan duit membeli buku cerita. Dan buku-buku yang ummi beli akan ummi baca berulang-ulang kali.

Di rumah ini ada sebuah almari yang dikhaskan untuk buku-buku dan majalah serta al-Quran. Oleh sebab si kembar dan adik mereka suka ‘mengemas’ barang, maka hanya bahagian atas (almari ) sahaja dipenuhi oleh buku. Kononya, anak-anak tidak akan dapat ‘mengemas’ buku-buku di bahagian atas.

Si kembar juga sukakan buku sebenarnya. Tetapi minat mereka itu turut datang dengan keghairahan untuk merenyuk dan mengoyak buku, maka ummi agak kurang galakkan mereka untuk ‘bermesra’ dengan buku-buku ummi.

Suatu hari, si kembar bermain berdekatan sofa yang bersebelah dengan almari buku tersebut. Pintu almari dibuka luas, tapi disebabkan tiada bunyi renyuk, koyak dan buang, maka ummi biarkan sahaja. Lagipun ummi sibuk dengan perkara lain hari itu.

Continue reading

Aku sentiasa suka buku

Baru-baru ini aku mengalami keserabutan emosi yang sangat menyesakkan. Kebolehan untuk meluahkan perasaan dan inisiatif untuk berdiskusi terbang entah ke mana. Dan aku tidak mampu untuk menampung perasaan negatif itu terlalu lama. Ia memakan diriku, jadi aku kembali ke penawar tekanan yang paling berkesan selain kafein,iaitu  membeli dan membaca buku serta memuat turun buku digital (bisik : lagi selamat daripada terjebak membeli tudung berjenama yang mahal gila itu..lagi).

Awal bulan yang lalu aku menghabiskan sebahagian gajiku di Pesta Buku Antarabangsa 2012 di PWTC. Kemahuan yang kuat untuk tetap sampai ke situ seperti tahun-tahun yang sebelumnya membuatkan aku mengheret mak dan ayah yang berkunjung ke sini ke pesta buku tersebut. Juga,aku meninggalkan Farhan dengan suami beserta bekalan dua botol susu perahan untuknya. Sanggup kan? Aku tidak pernah ke mana-mana lagi (kecuali ke pasaraya, itupun semuanya diangkut sekali) selepas melahirkan Farhan atau meninggalkan dia dengan orang lain (kecuali ketika pergi ke pejabat).

Hasil pancingan di Pesta Buku Antarabangsa 2012

Setelah ‘sebeban’ buku dibeli di pesta buku tersebut, dua hari lepas aku mengajak rakan sepejabat yang pernah menjadi teman serumahku ke Giant untuk membeli novel sejarah Islam yang kami jumpa ketika makan di sana. Ketika itu peniaga tersebut berjanji memberi potongan harga dan aku kembali menuntut janji beliau dengan ‘merembat’ 3 buah novel tersebut. Tetapi aku rasa tertipu kerana beliau tidak memberi potongan seperti yang dijanjikan. Aku menyedarinya setelah beredar dari booth buku beliau, cis!!

Aku jarang mampu bersabar membaca novel terutamanya novel cinta, jadi aku kurang membeli novel, hanya meminjam dari kawan-kawan. Tetapi aku jatuh cinta kepada novel ini setelah membaca novel bertajuk Tariq bin Ziyad : Menang ataupun syahid. Aku ingat dulu mak pernah membelikanku buku cerita kanak-kanak bertajuk Ali bin Abu Talib serta beberapa buah yang lain yang aku lupa tajuknya serta sudah tiada dalam simpananku. Aku juga pernah dihadiahkan buku cerita mengenai hijrah Rasulullah SAW (tak ingat ke Habsyah atau ke Madinah, tapi masih ingat mukasurat terakhir yang terkoyak itu ada dialong antara ketua rombongan iaitu Ja’afar bin Abu Talib dengan ketua negara tersebut) ketika tadika (tidak ingat juga kenapa mendapat hadiah haha..), dan aku selalu ‘membuli’ pengasuhku untuk membacakan buku itu kepadaku, berkali-kali (*sengih nakal). Tetapi yang pasti aku suka kepada buku cerita dan cerita mengenai sejarah.

Pada permulaannya aku kurang gemar membaca buku zaman nabi Muhammad SAW kerana padaku zaman baginda dan sahabat sesudahnya terlampau banyak kesedihan dan peperangan. Aku lebih sukakan cerita nabi dan rasul yang lain, mungkin sebab padaku (ketika itu) mereka mempunyai mukjizat yang sangat magic! Tetapi apabila aku mula bersekolah dan belajar tentang hadis dan ayat alQuran, aku mula menghargai kisah-kisah zaman baginda dan khalifah-khalifah sesudahnya.

Novel Sejarah Islam

Ini dua dari 3 buah buku yang aku beli. Sebuah lagi adalah Umar al-Khattab : Reformis Dunia Islam. Sudah menghabiskan Sultan Muhammad al-Fateh : Penakluk Konstantinopel, sekarang khusyuk membaca Umar Abd Aziz : Bayangan Khalifah al-Rasyidin. Aku telah mempunyai sebuah buku mengenai Umar Abd Aziz hasil tulisan Prof Madya Rasid Muhamad, it was a good read too.

Alhamdulillah aku tidak mempunyai jadual testing yang ketat seperti minggu lepas, maka aku dengan bahagianya mengambil masa semahu-mahunya dalam menghabiskan novel-novel ini. Sehinggakan ada satu malam aku bermimpi membuat persiapan untuk berperang dengan Rom dek terlalu absorb dengan cerita Sultan Muhammad al-Fateh. Si Farhan pun kupujuk supaya tidur awal hehe..

Ketika pumping session pun aku baca novel ini. Teringat mak pernah bercerita tentang kegilaanku membaca di hadapan kawannya,

‘Kakak ni, menyusu anak pun dia boleh dok baca buku’

Heh.. membaca adalah terapi buatku. Tetapi pastilah membaca al-Quran adalah lebih baik terapinya kerana ia merupakan kalam Allah SWT kepada hambaNya. Mendengarnya pun sudah mampu menenangkan hati, apatah lagi membacanya.

Sekarang ini masih pada bab Khalifah Umar Abd Aziz dilantik menjadi Khalifah.

Oh mari membaca. Aku sentiasa sukakan buku.

Rak buku yang dikemas akhirnya

Qider Firdaus
Bandar Baru Bangi

p(^_^)q

gambaru!!