Sup Ikan Siakap dengan Jintan Manis

Sup Ikan Siakap

Sup Ikan Siakap

Saya sangat suka memasak sup ini. Hal ini kerana, sup ini mampu membuatkan anak-anak saya makan nasi insyaAllah. Si Rayyan siap cakap, ‘sedap’. Sup ini sangat sesuai buat ibu dalam pantang pembedahan atau yang bersalin biasa. Jika anak-anak atau anda demam, sup ini sangat bagus dalam meningkatkan imuniti badan anda kerana serai, halia, bawang putih serta bawang merah merupakan anti-virus semulajadi.

Sebelum ini saya ada letakkan resepi sup ikan siakap di sini. Kali ini saya tidak menggunakan asam keping tetapi menambahkan serbuk jintan manis ke dalam sup. Kuahnya sangat manis dan sungguh sedap. Jika anda suka rasanya sedikit pedas, bolehlah tambah 2-3 biji cili padi.

Bahan-bahan

1 ekor ikan siakap bersaiz sederhana
2 biji ubi kentang½ batang lobak merah
5 ulas bawang putih (dihiris nipis)
5 biji bawang merah (dihiris nipis)
2 inci halia (dihiris nipis)
2 batang serai sederhana besar (dititik)
1 bunjut rempah sup
1 sudu kecil serbuk jintan manis
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Cara memasak

  1. Potong lobak merah dan ubi kentang mengikut saiz yang anda suka. Kalau boleh potong dalam saiz sederhana, tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar.
  2. Bawang putih, bawang merah dan halia dimayang halus (dihiris nipis).
  3. Masukkan lobak merah, ubi kentang, bawang putih, serai, halia dan bunjut sup serta air mengikut kuantiti kuah yang anda suka (selalunya saya akan letak dalam 5 cawan air, guna cawan Tupperware tu) ke dalam periuk. Biarkan mendidih sehingga lobak merah dan ubi kentang empuk.
  4. Kemudian masukkan ikan, biar mendidih sebentar dan kemudia masukkan garam dan serbuk jintan manis.
  5. Masak lagi dalam 5 minit atau sehingga ikan siakap masak.Tutup api dan hidangkan.

Nota:

  1. Jika memasak untuk anak di bawah dua tahun, jangan gunakan garam. Masakan ini jika dimasak dengan betul, sudah cukup rasanya.
  2. Anda boleh gunakan apa sahaja sayur yang anda suka seperti saderi atau sayur yang berbatang keras serta ubi-ubi yang manis.
  3. Saya suka untuk membiarkan sup direneh dalam tempoh yang agak lama (tapi janganlah sampai ikan hancur) hingga kuah sedikit kering dari asal. Air ditambah dari semasa ke semasa.
  4. Untuk ibu berpantang, bolehlah dimasukkan 3 biji lada hitam.

Selamat mencuba!

Signature_edit2

2 thoughts on “Sup Ikan Siakap dengan Jintan Manis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge