Nugget Ayam Sedap dan Mudah

Jumaat yang lepas, saya berkongsi resepi nugget ayam yang pernah saya buat (dan yang selalu saya buat) dengan seorang ibu muda. Seronok sebenarnya berkongsi tips masakan dengan orang lain, tambahan pula tips memasak dengan pantas buat ibu-ibu bekerja macam saya.

Semalam, setelah saya melayari beberapa blog resepi kanak-kanak ‘mat saleh’ (saya memang suka betul bertandang ke blog mereka untuk mencari idea), akhirnya saya buat sedikit perubahan terhadap resepi nugget ayam saya yang sebelum ini.

Menjadi, sedap, rangup dan si kembar serta adik si kembar berebut makan nugget tersebut. Siap ada drama menangis lagi. Segala ‘bendasing’ yang saya letak semuanya mereka makan tanpa ‘sesi pengasingan’. Ummi mereka sengih lebar.

Berikut adalah bahan-bahan dan cara membuat nugget ayam dengan sayuran.

Bahan-bahan

Nugget3

1 ½ keping dada ayam (saiz sederhana)
2 keping roti gardenia (dibakar dan dikisar untuk dijadikan serbuk roti)
3 biji bawang putih tunggal (dicincang halus)
3-4 hiris lobak merah (dicincang halus)
Sedikit garam (kalau tak nak letak pun tidak mengapa)
Minyak untuk menggoreng

Cara membuat nugget ayam

  1. Buang kulit dan tulang yang terdapat pada dada ayam dan bersihkan dengan bilasan air limau nipis. Toskan.
  2. Potong daging ayam dalam bentuk kiub kecil. Kemudian kisar daging ayam menggunakan food processor atau jika tiada, anda boleh menggunakan pengisar kering (yang selalunya kita gunakan untuk mengisar bahan kering).
  3. Masukkan daging ayam yang telah dikisar itu ke dalam bekas. Campurkan bersama sedikit garam, 2-3 sudu besar serbuk roti, lobak merah dan bawang putih yang telah dicincang halus.
  4. Setelah siap, ambil sedikit isi ayam itu, kepal dalam bentuk bulat dan leperkan mengikut bentuk yang anda suka.
  5. Ulang sehingga habis isi ayam.
  6. Kemudian balik-balikkan di dalam serbuk roti.
  7. Sudah siap dan susun di atas pinggan, boleh terus goreng macam biasa. Nak simpan, simpan terus di dalam bahagian sejuk beku.

Nugget2

Untuk resepi ini saya mendapat lebih kurang 12 keping nugget sederhana besar macam gambar di bawah.

Nugget1

Nota:

  1. Untuk kesegaran, gunalah dalam tempoh sebulan penyimpanan.
  2. Penggunaan bawang putih adalah untuk menaikkan lagi rasa ayam.
  3. Boleh gunakan apa sahaja sayur yang anda suka.
  4. Tambahan serbuk roti bukan saja menyedapkan rasa nugget tapi menambahkan volume pada nugget.
  5. Jika anda mahukan nugget yang lebihkan lembut, kurangkan isi ayam, tambahkan sedikit lemak ayam atau tepung gandum atau serbuk roti. Atau anda gunakan isi ayam di bahagian peha.
  6. Penggunaan sayuran dicincang lebih menaikkan rasa nugget berbanding jika sayur itu dikisar seperti dalam resepi ini.

Selamat mencuba 🙂

Signature_edit2

4 thoughts on “Nugget Ayam Sedap dan Mudah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge