Kepentingan pengambilan air dalam pantang

water intake 2

Proses mengandung dan melahirkan merupakan proses yang membebankan badan ibu. Oleh itu, adalah penting untuk ibu yang melahirkan untuk berehat sepenuhnya untuk badan ibu pulih sepenuhnya. Proses berehat itu dinamakan pantang bagi orang Melayu. Ada beberapa perkara yang dilakukan dalam pantang termasuklah pemakanan sihat, bertungku, bertangas mandi herba dan mengurut.

Namu begitu perkara paling penting yang ingin saya bincangkan di sini ialah pengambilan air ketika dalam pantang. Saya selalu mendengar keluhan kawan-kawan lain yang tidak dibenarkan untuk minum air secukupnya, malah dicatu pula. Maka di sini saya kongsikan kepentingan untuk ibu dalam pantang minum air secukupnya.

  • Penting untuk kesembuhan dalaman

Air sangat penting kerana ia membantu menyembuhkan sistem dalaman badan ibu. Darah nifas yang keluar ketika dalam pantang perlu sentiasa diganti. Antara komponen utama darah ialah air. Jadi jika kita tidak minum air dengan cukup, ia akan membuat kita cepat merasa letih. Ia juga membantu pengeluaran toksin dalam dengan lebih berkesan. Pengeluaran toksin yang berkesan membantu proses pemulihan dalaman dengan lebih cepat.

  • Penting untuk serapan nutrisi ke seluruh badan

Air membantu serapan nutrisi dengan lebih baik ke seluruh badan. Penyerapan nutrisi yang berkesan membantu badan mendapat zat yang diperlukan ketika dalam proses pemulihan. Apabil badan mendapat zat yang diperlukan, maka lebih cepatlah badan sembuh dan sel-sel baru terbentuk. Ibu juga akan merasa lebih segar dan kulit akan kelihatan lebih berseri.

  • Penting untuk memudahkan proses penyahtinjaan 

Sembelit merupakan perkara yang sangat ditakuti oleh ibu dalam pantang. Saya pernah menghadapinya. Dan saya mengaku saya memang kekurangan air ketika itu. Selain serat, air juga membantu melawaskan najis. Jadi sila minum air secukupnya untuk mengelakkan sembelit ye.

  • Penting untuk penyusuan

Antara komponen dalam susu ibu ialah air. Jadi apabila bayi menyusu dengan sangat kerap, adalah penting untuk ibu top-up pengambilan air dengan konsisten. Ibu yang menyusu dalam pantang (di luar pantang pun sebenarnya) sangat cepat dahaga. Maka minumlah air dengan mencukupi. Jangan sampai badan dehidrasi. Untuk memastikan jayanya penyusuan ketika dalam pantang, minumlah air dengan cukup. Jangan catu-catu.

Dengan 4 kepentingan air yang telaha saya huraikan di atas maka pastikan ibu dalam pantang kerap minum air suam, sup dan susu (susu badam, susu segar) atau jus yang berkhasiat (seperti jus pegaga, jus oren) dalam menampung keperluan badan ibu terhadap cecair ketika dalam pantang.

Susu tidak akan mencurah-curah kalau kurang minum air. Proses pembuangan menjadi susah apabila kurang minum air. Muka, kulit jadi kusam apabila kurang minum air.

Badan pun akan terasa kurang cergas. Lemah. Letih.

Jadi banyakkan pengambilan cecair, anda sangat-sangat perlukannya.

Selamat berpantang dengan tenang ye ibu-ibu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge