Ikan Tongkol Masak Lemak Kuning

Semalam ke pasaraya sebelah rumah untuk stock up bahan basah yang hampir habis. Kami satu keluarga memang akan membeli barang mentah 2 kali sebulan. Barang mentah dan juga barang kering termasuklah pampers (haih, bilalah nak free dari pampers dan susu tepung, stop susu tepung dan pampers bolehlah stock fresh milk ke, fresh goat milk ke, lagi berbaloi).

Kali ini disebabkan ummi sudah terlalu penat membasuh segala ayam dan ikan sebelum disimpan (itu pun ada juga ikan kecil yang ku simpan, hari ini mungkin akan dicuci dengan limau nipis), maka resepi masak lemak ni main campak-campak dan mana sempat sahaja. Ummi memang merancang untuk masak lauk ini untuk dua hari.

Kuah masak lemak ini ummi sempat reneh selepas letak santan dengan api kecil. Sengaja buat macam tu, biar kuah lagi sedap dan tahan lebih lama. Rayyan memang suka menimba kuah masak lemak dalam pinggan beliau, Furqan juga berminat dengan lauk ini, Farhan lagilah, bertambah-tambah nasi.

Apabila semua dah siap (ummi pun siap mandi dan solat), jam sudah menunjukkan pukul 12.30 AM. Rasa nak menangis juga, tetapi apabila difikirkan masak-memasak selepas ini lebih cepat (sebab ikan dan ayam siap dicuci dan dibahagikan mengikut hari) dan Farhan bakal membawa bekal yang sedap dan berkhasiat, ummi rasa lega.

Jadi mari kita lihat cara-cara membuat masak lemak ini.

Bekal Farhan hari ini - Ikan Tongkol Masak Lemak

Bekal Farhan hari ini – Ikan Tongkol Masak Lemak

Bahan-bahan

2 ekor ikan tongkol bersaiz sederhana
3 biji kentang bersaiz besar1
batang lobak merah bersaiz sederhana
1 keping asam gelugor (asam keping)
500 gram Santan
Garam secukup rasa
Sedikit air

Bahan ditumbuk/dikisar

2 inci kunyit
2 inci halia
2 batang serai
2 sudu besar jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan manis
5-6 biji bawang merah
2 biji bawang putih

Cara memasak

  1. Kisar bahan kisar (jintan manis, bawang putih, bawang merah, serai, halia dan kunyit) sehingga halus.
  2. Potong kentang dan lobak merah mengikut saiz yang anda suka. Kalau boleh potong sederhana besar. Kemudian rebus dengan bahan kisar tadi sehingga empuk.
  3. Masukkan ikan, asam gelugor, biar masak sebentar dalam 5 minit.
  4. Kemudian masukkan santan.
  5. Masukkan garam mengikut tahap kemasinan yang anda suka.
  6. Masak dengan api sederhana, biarkan mendidih. Jangan sampai santan pecah minyak.
  7. Setelah mendidih dan ikan pun masak (dalam 10-15 minit), tutup api dan hidangkan.

Nota:

  1. Jika memasak untuk anak di bawah dua tahun, jangan gunakan garam. Masakan ini jika dimasak dengan betul, sudah cukup rasanya..
  2. Jika ingin pedas, tambahkan 7-8 cili padi mengikut kepedasan yang anda suka.
  3. Bawang putih yang saya gunakan ialah bawang putih jenis bawang putih tunggal/lanang.

Selamat mencuba!

Signature_edit2

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge