Gangguan Jin (Part 2) : Memulakan usaha menghalau

Esoknya (Isnin), kami ke pejabat seperti biasa dan anak-anak ke rumah pengasuh dan tadika. Pulang dari pejabat, suami buat keputusan untuk bermalam di rumah adik beliau yang kebetulan berdekatan. Maka bermulalah projek menghalau makhluk halus yang bertapa di rumah kami itu.

Kami juga memaklumkan jiran terdekat akan keadaan kami ketika itu. Jiran yang memang ‘kamceng’ dengan kami di kawasan perumahan tersebut.

Apabila kami tiba di rumah adik suami, saya mendapat panggilan telefon dari jiran sebelah rumah.

‘Assalamualaikum. Firdaus, korang kat mana ni? Ada kat rumah ke?’

‘Waalakumussalam. Kak Ros (bukan nama sebenar). Kitaorang kat rumah adik ni. Kenapa Kak?’

‘Yeke? Kak Ros ingat korang ada kat rumah. Ni maid cerita kata dia dengar macam orang buat kenduri kat dapur korang. Macam bunyi ramai sangat orang, dengan bunyi kerusi, bunyi orang memasak, bunyi kuali. Memang macam kendurilah’

‘Eh,iye ke Kak?’, saya dah naik seram (tengah menaip ni pun dah kembang bulu tengkuk).

‘Aah, tapi ni memang betullah korang takde kat rumah ye? Haih, kenduri sakanlah diorang. Maid lah yang dengar tadi, dia terus tanya korang ada kat rumah ke tak’.

‘Kami memang kat sini dah kak. Tak sangguplah nak dok kat rumah. Okey kak, terima kasih,’

Putus sahaja perbualan, saya bertambah-tambah meremang bulu roma.

Suami mula mencari ustaz untuk menolong kami menghalau makhluk halus di rumah kami.

Keesokannya, pada waktu tengah hari saya dan suami pulang ke rumah untuk mengambil pakaian (sebenarnya berani-berani takut nak tengok keadaan rumah). Nak buka pintu rumah pun, berkali-kali kami membaca ayat kursi dan 3 Qul.

Buka sahaja pintu rumah dengan memberi salam……..

Keadaan rumah tetap seperti yang kami tinggalkan. Sofa dan kusyen pada kedudukan asal, pinggan, kuali dan kerusi di dapur pun bersusun elok di tempatnya. Saya mengajak suami naik ke atas untuk mengambil baju dan bau pandan itu masih kuat di bilik atas.

Selama 3 hari berturut selepas itu, suami saya bersama biras serta seorang ustaz (yang lain) memulakan proses untuk menghalau makhluk halus tersebut.

Dan pada hujung minggu itu, saya dan suami mengadakan solat hajat, bacaan yasin dan sedikit kenduri buat jiran-jiran dan adik beradik terdekat. Kakak suami tolong memasak nasi dagang untuk majlis ini. Abang sepupu saya yang datang lebih awal sebelum majlis bermula menyatakan yang beliau juga rasa meremang bulu tengkuk apabila masuk ke rumah kami. Rasa macam ada ‘sesuatu’ katanya.

Pada malam itu juga, saya dan suami berubat dengan ustaz (yang katanya belajar di darus syifa’ Bangi). Ketika bacaan Yassin, beliau meminta kami menyediakan air untuk mandi dan minum. Jadi sepanjang minggu seterusnya, kami sekeluarga minum air tersebut dan mandi dengan air yang dibacakan surah Yassin beramai-ramai ketika majlis tersebut.

Memasuki minggu kedua kami pulang ke rumah. Rasa tak sedap pulak berlama-lama di rumah orang.

Bermula minggu kedua, bacaan rukyah di pasang secara non-stop setiap hari siang dan malam. Kami masih lagi tidur di bahagian bawah. Suami juga telah mula meminta bantuan ayah kepada jiran kami (dari minggu sebelumnya lagi) dalam usaha menghalau makhluk (dan mungkin makhluk-makhluk) tersebut.

Sepanjang minggu ini juga, setiap kali pulang dari kerja (kami akan memastikan kami sampai sebelum maghrib), kami akan memasang laungan azan, tawaf dari bahagian bawah ke bahagian atas dengan memercikkan air yassin di sekeliling rumah sambil mulut terkumat kamit membaca 3 Qul dan Ayat Kursi.

Sampai di suatu tahap, saya menjadi sangat rimas dengan keadaan sedimikian kerana setiap kali ingin menggosok baju atau kerja-kerja mendobi yang lain, hatta ingin mengambil pakaian pun, saya terpaksa ditemani dengan laungan azan dan suami. Itu pun tidak menghilangkan perasaan ada orang memerhatikan saya atau kadangkala ternampak sesuatu yang melintas.

gambar sekadar hiasan

gambar sekadar hiasan

Akhirnya saya membuat request pada suami untuk memanggil anak-anak sekolah tahfiz membacakan surah al-Baqarah. Sebab saya ada terbaca di dalam satu blog seorang ustaz, bahawa surah al-Baqarah lebih afdhal dibaca dalam menangani gangguan iblis, jin dan syaitan. Hal ini kerana, dalam surah tersebut diceritakan bagaimana iblis dihalau dari syurga hanya kerana keangkuhannya (dia tak nak sujud pada Nabi Adam alaihisalam). Menurut ustaz itu lagi, apabila dibaca surah ini, iblis dan syaitan akan keluar dari rumah kita selama 3 hari.

Anak-anak tahfiz ini di import dari sekolah anak kepada kawan suami.

Apabila bacaan itu selesai dan anak-anak tahfiz itu pulang (dengan berbekalkan nasi lemak dan cucur udang), saya naik ke bahagian atas dan Alhamdulillah baunya berkurang.

Aktiviti tawaf dan percikan air yassin itu juga masih kami teruskan.

Tapi kemudiannya kami sedar ada satu masalah lain. Walaupun bau itu hilang dari bilik, bau itu mengikut saya ke mana sahaja sehinggalah ke pagar rumah!

……bersambung

Signature_edit2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge