Dominasi otak : Kiri atau kanan.

Sejak mempunyai anak-anak dan akhirnya menyedari kelainan yang ada pada anak-anak saya, sebagai seorang mak yang suka menulis, maka penulisan saya tahun-tahun kebelakangan ini banyak bertumpu kepada mereka.

Terutamanya, selepas saya hadir ke Kursus Keibubapaan Nury dan akhirnya faham mengenai anak-anak saya dan dunia mereka.

Saya terjun ke dunia yang banyak membicarakan satu organ manusia yang paling misteri dan istimewa, iaitu OTAK.

Di sinilah segalanya bermula.

Pada penulisan kali ini, saya ingin bercerita mengenai dominasi otak.

Pada asasnya,otak mempunyai dua hemisfera, iaitu kiri dan kanan (macam hemisfera bumi pula). Kita selalu mengatakan bahawa orang yang berbakat dalam bidang seni sangat mendominasi otak kanan (menulis dengan tangan kiri) manakala sebaliknya pula berbakat dalam matematik dan sains.

Sedangkan ia tidaklah sebenarnya begitu.

Teringat saya ketika di Kursus Keibubapaan Nury dahulu, Dr. Azura (anak kepada pengasas Institut Nury, Allahyarhamah Dr Norlaili) ada berkata,

‘Saya menulis dengan tangan kiri, tetapi saya seorang doktor perubatan. While my husband is right handed and he is a musician’

Apakah yang ingin disampaikan dengan pernyataan di atas?
Maksudnya, perkaitan mengenai sains dan muzik dengan bahagian otak tertentu adalah tidak begitu relevan.

Perkembangan dominasi otak ini, hanya akan mencapai tahap sempurna apabila anak berumur 6 tahun. Maksud dominasi otak ialah, apabila hanya satu hemisfera otak yang menjadi kawalan utama. Manakala, hemisfera yang satu lagi akan menurut.

Kedua-dua belah hemisfera otak sebenarnya mempunyai kebolehan yang sama. Ia dibuktikan dengan anak yang telah dibedah dan dikeluarkan satu hemisfera otaknya, mampu mencapai perkembangan dan mempunyai kebolehan pada tahap anak normal (setelah diberi ransangan yang sepatutnya).

Bagaimana kita boleh membuat pemerhatian terhadap perkembangan dominasi otak anak?

Anak yang cenderung menggunakan otak kiri, akan lebih selesa mendengar dengan telinga kanan, menulis dengan tangan kanan, melihat dengan mata kanan (teropong) dan menendang bola dengan kaki kanan. Begitulah sebaliknya kepada anak yang cenderung menggunakan otak kanan.

Di kelas keibubapaan Nury, kami diajar untuk mengesan dominasi otak ini dengan melakukan beberapa aktiviti yang berkaitan, seperti,

Apabila teropong diberikan kepada anak, mata yang manakah beliau gunakan untuk melihat melalui teropong tersebut.

Apabila sesuatu barang diletak dihadapan anak, tangan manakah yang beliau gunakan untuk mengutip barang tersebut.

Ni baru dua contoh, anda boleh belajar mengenai ini lebih lagi di kelas keibubapaan Nury.

Mengapa dominasi otak ini penting?

Ini adalah kerana, ia membantu proses pertukaran maklumat yang sistematik dan pantas kepada seluruh sistem badan. Anak yang perkembangan dominasi otak yang tidak sempurna, akan sering jatuh, cuai, mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.

Contoh yang kita boleh lihat, dalam perihal berjalan.

Apabila kita memulakan langkah, kita perlu memilih melangkah dengan kaki kanan dahulu atau kaki kiri. Satu hemisfera akan membuat keputusan mengenai kaki mana yang akan melangkah, manakala hemisfera yang satu lagi akan bersetuju dengan keputusan tersebut.

Maka, kita akan melangkah mengikut hemisfera yang dominan. Jika kita dominan otak kiri, maka dengan pantas kita akan melangkah dengan kaki kanan.

Akan tetapi, jika kedua hemisfera otak tidak dapat membuat keputusan kaki mana yang patut melangkah, akan menyebabkan sama ada kaki tidak melangkah langsung atau tersadung ketika melangkah, seterusnya terjatuh.

Analoginya, dalam sebuah negara hanya akan ada satu ketua sahaja yang akan membuat keputusan, manakala yang lain (penasihat, menteri-menteri kabinet) akan mengikut arahan tersebut. Jika ada lebih dari satu ketua dalam negara, bayangkan, apa yang akan terjadi? Porak peranda kan?

Porak peranda itulah juga yang berlaku dalam otak anak yang tidak mencapai dominasi otak yang sempurna.

Porak peranda itu juga yang merencatkan pertumbuhan intelektual dan fizikal anak seperti mahir membaca, menulis dengan baik, menangkap atau menendang bola dengan cekap.

Sunnah atau sunnatullah

Sebab itulah ketika anak berumur 6 tahun ke bawah, jika beliau seorang kidal, jangan dibetulkan hanya kerana ingin mengikut Sunnah. Kita jangan lupa kepada sunnatullah, iaitu aturan yang telah Allah tetapkan.

Anak nak menggunting dengan tangan kiri, disentak tangannya, disuruh dengan tangan kanan. Anak menendang bola atau berjalan bermula dengan kaki kiri, ditegur dan dibetulkan supaya menggunakan kaki kanan.

Maka anak akan mengalami kecelaruan dominasi (mixed dominance) apabila ada sebahagian anggota badan dominan pada sebelah kiri, manakala sebahagian lagi pada sebelah kanan.

Gagap juga merupakan tanda kecelaruan dominasi. Salah satu hemisfera otak tidak dapat membuat keputusan otak mana yang mahu menuturkan kata-kata.

Dalam kita cuba menghidupkan Sunnah, di samping meraikan sunnatullah dominasi otak ini, kita bantu anak faham situasi di mana beliau perlu untuk menggunakan Sunnah.

Di sini saya datangkan contoh yang paling dekat dengan saya, anak saya.

Saya mempunyai seorang anak yang kidal. Saya hanya mengetahui mengenainya ketika saya ke kelas beliau pada umur beliau 4 tahun (he is December baby, although chronologically he is 5 years old, physiologically he is still 4 years old). Beliau jarang memegang pensel di rumah dan saya perhatikan ketika makan beliau akan menggunakan kedua-dua belah tangan, which annoyed me the most. Can you imagine the mess with two hands?

Ketika itu beliau sedang mewarna bersama kawan-kawannya, kelihatan sangat tenang dan menggunakan tangan kiri. Then it clicks in my mind. Padanlah di banyak masa-masa tegang dan kecemasan, anak ini nampak begitu lambat untuk membuat keputusan.

Padanlah beliau makan dengan kedua-dua tangan.

Tambahan pula, beliau juga anak istimewa, brain injured child, like his brothers.

Jadi apa yang saya buat selepas itu, ketika makan dan ketika qada hajat, saya akan tekankan mengenai penggunaan tangan kanan atau kiri. Di ketika yang lain, saya dorong beliau untuk menggunakan tangan kiri dan seluruh anggota badan sebelah kiri beliau.

And it so happens, saya sendiri pun mengalami kecelaruan dominasi otak. Walaupun saya menggunakan tangan kanan, saya juga sedar yang ada ketikanya saya absent mindedly mengambil barang dengan tangan kiri atau mendengar lebih baik dengan telinga kiri.

Mak pun kena stimulasikan dominasi otak juga nampaknya ha ha ha ha.

Tidak penting untuk anak menggunakan otak yang sebelah mana, yang penting ialah anak menggunakan sebelah yang beliau selesa itu dengan konsisten. Konsisten dengan kaki kiri, tangan kiri, telinga kiri dan mata kiri, contohnya.

Dalam 6 tahun pertama, inilah yang perlu diperhatikan oleh ibu dan ayah, kecenderungan anak menggunakan bahagian badan yang sebelah mana.

Oh satu lagi, sebelum saya akhiri penulisan ini, bakat, boleh digilap (nurtured). Ia tidak semestinya dilahirkan (born) bersama kita.

Jadi gilaplah bakat anak, besarkan anak mengikut acuan yang kita mahukan buat anak kita, tidak kiralah otak kiri atau kanan.

Sekian.

Ummi si kembar dan adik2 si kembar

4 thoughts on “Dominasi otak : Kiri atau kanan.

  1. Terima kasih ye for the sharing. Banyak info dlm entri2. Teringin juga nak pergi kursus nury. Tengah tengok2 sekiranya ada di kawasan utara. InsyaAllah. Moga ada kesempatan nak join.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge