Cara Membuat Bebola Ikan Homemade

Sebenarnya sudah lama saya sangat teringin untuk cuba membuat bebola ikan. Saya mahukan resepi yang mudah dan penggunaan tepung yang minima. Malangnya apabila saya mencari cara pembuatannya di blog tempatan, rata-ratanya banyak mencampurkan dengan pelbagai jenis bahan yang pastinya hanya membantutkan selera anak-anak saya. Akhirnya, seperti biasa saya mendapat resepi yang lebih mudah dari penulis blog luar negara.

Saya suka cara pembuatan bebola ikan dari blog ini, sangat fresh dan menepati citarasa saya yang sukakan sesuatu yang mudah dan sedap. Beliau menggunakan pisau untuk melembutkan isi ikan, dan bahannya cuma ikan dan garam sahaja serta sedikit air. Best kan?

Bahan-bahan untuk bebola

5 ekor ikan selar besar
Garam
Tepung gandum
Air

Bahan-bahan untuk rebusan bebola ikan

Kepala dan tulang ikan
Bunjut sup
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
2 hiris halia
Air secukupnya

Cara membuat bebola ikan

  1. Belah ikan di antara bahagian tulang dan kemudian korek isi ikan menggunakan sudu plastik. Kepala ikan dan tulang dibersihkan dan ketepikan untuk pembuatan stok rebusan bebola ikan.
  2. Masukkan isi ikan ke dalam pengisar makanan. Kisar sehingga halus.
  3. Masukkan isi ikan yang telah dikisar itu ke dalam bekas. Jika isi ikan kelihatan berair, campurkan 2-3 sudu besar tepung gandum  dan sedikit garam. Sebatikan dan jika isi ikan masih lagi berair, tambahkan lagi tepung. Mesrakan adunan sehingga menjadi macam doh dan boleh dibentuk.
  4. Semasa membentukkan bebola ikan, pastikan tangan bersih. Bentukkan adunan isi ikan kepada bebola.
  5. Untuk air rebusan bebola ikan, hiris bawang putih, bawang merah dan halia nipis-nipis dan masukkan ke dalam periuk bersama-sama air, tulang dan kepala ikan serta  bunjut sup.
  6. Biarkan air rebusan mendidih seketika, kemudian masukkan bebola ikan.
  7. Apabila bebola ikan terapung dalam rebusan sup,  toskan dan biarkan ia sejuk seketika sebelum disimpan di ruangan sejuk beku.

Nota:

  1. Jika memasak untuk anak di bawah dua tahun, jangan gunakan garam.
  2. Penggunaan tepung hanyalah apabila isi ikan yang dikisar itu jadi berair. Pengajaran yang saya dapat ketika membuat bebola ikan ini, kisar isi ikan dengan pengisar kering atau food processor. Hanya tambahkan garam sahaja. Air pula diperlukan ketika membentukkan isi ikan yang dikisar kepada bebola.
  3. Boleh guna air biasa ketika merebus bebola. Saya gunakan sup untuk menambahkan rasa dan kesedapan pada bebola. Sup rebusan itu saya sejuk bekukan untuk dijadikan stok.
  4. Untuk langkah ke 4, untuk mempercepatkan proses, isi ikan itu saya gengam dan dikeluarkan (macam dipicit gitu) di bahagian atas antara ibu jari dan jari telunjuk. Terus sahaja masuk ke dalam air rebusan.
  5. Resepi ini menghasilkan 20-25 biji bebola ikan sederhana.
bebola ikan dan stok ikan yang telah pun dibekukan

bebola ikan dan stok ikan yang telah pun dibekukan

Selamat mencuba!

Signature_edit2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge