Anak kembar : Pisahkan atau tidak?

Siapa yang tidak pernah teruja dengan anak kembar.

Yang masih bayi.
Yang di sekolah rendah.
Yang remaja.
Sehinggalah jika ada kembar berkahwin serentak, ia sampaikan dipaparkan di dada akhbar.

Terujanya kita dengan anak kembar.

Belum bilangannya yang masuk cerita. Lebih ramai kembar, berlebihlah lagi keterujaannya.

Dahulu, saya juga termasuk dalam golongan teruja itu. Apabila melihat junior sekolah menengah yang kembar dan kawan-kawan seuniversiti yang ada beberapa yang juga kembar sama ada satu kursus ataupun tidak (terpisah di universiti/kolej lain)

Cuma, sebagai manusia separa introvert, saya suka untuk pendamkan keterujaan saya dan hanya memerhatikan perilaku kawan-kawan yang kembar itu. Banyak yang saya belajar dengan mereka.

Sehinggalah saya dikurniakan Allah anak-anak kembar saya dan saya dihempap dengan segala perkara, keterujaan itu hilang terus. Kemudian ditambah lagi dengan kondisi mereka yang sekarang, sampai layak untuk dapat kad dengan JKM, sekarang,  saya pula kurang senang dengan keterujaan dari orang lain.

Baik.
Saya memahami bahawa ramai kawan saya yang mempunyai anak kembar, mungkin mempunyai pendapat berbeza mengenai ini. Saya mungkin dianggap esktrimis, tapi, ini ada kebaikan untuk perkembangan anak-anak kembar.

Saya adalah antara mak kembar yang pada tahap yang sesuai, tidak lagi memakaikan baju yang sama pada anak-anak kembar saya. Hanya pada waktu tertentu untuk situasi keselamatan sahaja.

Saya juga antara mak kembar yang pisahkan anak-anak saya supaya berada di kelas berbeza sejak dari pra sekolah.

Saya juga ajar anak-anak saya supaya ada masa seorang keluar dengan ayah, seorang lagi di rumah dengan ummi.

Ada masa seorang itu mendominasi, di ketika lain, seorang lagi pula mendonimasi. Hal ini kerana, kedua-dua anak kembar saya adalah anak sulung saya. Lelaki pula. Tanggungjawab perlu sama rata.

Mengapa?

Hal ini kerana, psikologi anak kembar tidak sama dengan anak berselang tahun atau adik beradik berbeza tahun. Mereka sentiasa in the limelight.

Apabila orang nampak mereka (tidak kiralah 2,3, 4 atau seterusnya) di luar rumah/sekolah, orang nampak kembar. Orang tidak nampak 2 orang individu berbeza. Orang nampak comel-comel sahaja. Orang tidak raikan jika ada perbezaan ketara dan jika ada orang akan membuat remarks begini,

‘Eh, bukan kembar sepatutnya semua sama ke?’
Saya sangat menyampah dengan kenyataan ini, maafkan saya.

Dan bukan sahaja orang luar, ibu bapa juga kadang lupa mereka membesarkan 2 (atau lebih) individu berbeza. Lupa untuk meraikan perbezaan minat anak-anak, membuka ruang untuk anak-anak mengeksplorasi hidup masing-masing.

Saya pilih untuk pisahkan anak di kelas berlainan

Anak kembar saya, ketika di pra sekolah, saya biarkan mereka berada di kelas yang sama selama 2 tahun, kemudiannya dipisahkan pada 2 tahun selepasnya sebelum memulakan persekolahan formal.

Satu, kerana mereka speech delayed.
Kedua, salah seorang dari mereka ambil mudah dengan aktiviti di pra sekolah. Beliau tidak akan mengikuti sebarang aktiviti, kerana pada beliau sebab kembarnya sudah buat, beliau tidak perlulah buat. Ko nampak akai tahap langit ketujuh tu.
Ketiga, saya nak sediakan mereka sebelum mereka ke sekolah rendah. Bukan semua sekolah memberi keistimewaan anak kembar untuk sekelas.

Dan sebenarnya, saya juga nak perhatikan bagaimana cikgu-cikgu dan kawan-kawan si kembar melayan mereka jika mereka berseorangan. Nasiblah kan, ada mak suka memerhati dan menulis ni.

Banyak yang saya belajar dari pengalaman ini.

Apabila anak masuk ke sekolah rendah, mulanya saya minta mereka disamakan kelas, sebab saya sendiri tidak bersedia mereka dipisahkan, kerana sekolah yang baru dan persekitaran yang baru. Akan tetapi, sistem sekolah tidak membenarkan, maka anak-anak saya dipisahkan kelas.

Alhamdulillah latihan 2 tahun sebelum ini membantu anak-anak saya, walaupun ada juga episod meruntun hati.

Berhari-hari sebelum sekolah bermula, saya sembang dengan anak-anak mengenai sekolah baru, mengenai kelas asing-asing, kawan-kawan baru dan macam-macam dengan anak-anak. Mak depa punyalah nervous tak ingat tau tak.

Harapan saya dan asas tindakan saya

Saya sangat pentingkan perkembangan emosi dan individualiti anak-anak kembar saya. Sebab saya mahu, jika suatu hari nanti mereka punya minat yang berbeza, pencapaian berbeza, emosi terhadap kembarnya tidak akan tempang.

Mereka masih menghargai dan menolong antara satu sama lain dan kenal pasti kelemahan dan kelebihan masing-masing supaya mereka dapat tampung antara satu sama lain.

Dan mereka juga bebas mencapai dan belajar apa yang mereka nak, tanpa dibayangi kembar masing-masing, kerana anak kembar masih dua individu berbeza.

Saya bermula dengan tidak memberikan nama yang seakan-akan sama kepada anak kembar saya. Dan acknowledge apa yang mereka suka sejak saya mula yang mereka speech delayed.

Pendapat saya mungkin relevan pada keluarga dan anak-anak saya sahaja. Saya menulis sisi pandangan saya, tidak perlu untuk bersetuju dan berdebat pun. Cukup sekadar perkongsian pandangan.

Penting,

Kita sepatutnya lebih memahami anak-anak kembar kita.
Di masa yang lain, insyaAllah saya akan berkongsi lagi mengenai ini, untuk menyesuaikan sisi keluarga kembar yang lain.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge