7  Tips memasak (hampir) setiap hari di bulan puasa

credit : bettyrosbottom.blogspot.com

credit : bettyrosbottom.blogspot.com

Lamanya saya tidak menulis. Nak dikatakan kekangan masa macamlah saya sibuk melampau, boleh sahaja saya bangun pukul 3 pagi dan menulis, tapi mungkin lebih kepada saya yang melebihkan tidur dari bangun, tambahan pula di bulan puasa (dan 2 bulan sebelum puasa saya sedang marathon menggantikan puasa) selepas sahur memanglah tidak akan tidur sehinggalah ke malam pada hari yang sama selepas Isyak. Mak kepada 3 orang anaknya yang selalu langgar rules ‘tidur sebelum pukul 10’ atau ‘paling lambat pukul 10.30’ memanglah sukar untuk tidur awal.

Sudahnya kalau saya letih sangat, saya akan masuk tidur dahulu, dan terkulat-kulatlah suami menguruskan dan memujuk anak-anak untuk tidur (ada kalanya anak-anak buat projek makan lewat malam dengan suami..haiihh).

Puasa sudah pun masuk ke fasa 10 Ramadhan yang kedua. Dan disepanjang bulan puasa ini, kami sekeluarga masak untuk berbuka. Jadi apabila sindrom letih-ke-dapur saya mula datang, jadi takut pula nak membeli di bazaar, sebab tidak tahu penjual mana yang masakannya sedap dan bersih.

Jadi saya kongsikan cara saya (dan suami) memasak setiap hari untuk berbuka.

1.  Rancang menu berbuka lebih awal

Perancangan menu yang lebih awal ini tidaklah bermaksud kita hanya berfikir pasal makan sahaja, tetapi ini adalah untuk memudahkan aliran keluar masuk kewangan dan bahan basah dalam peti ais. Ketika inilah kita akan mengaitkan pes masakan mana yang perlu dibuat bersesuaian dengan bahan basah yang dibeli. Suami beli ikan tongkol nak makan masak lemak, tapi isteri pula buat pes sambal, jadi apabila tiba nak memasak, tidak ke kelam kabut jadinya nak kupas bawang sebagainya. Jadi rancang menu lebih awal, ikutlah kalau nak buat jadual, tapi saya ini ada kalanya menu ikut rasa tekak nak makan apa.

2.  Sediakan pes/stok masakan segar dan beku

Seperti yang telah saya nyatakan dalam entri tips memasak dengan pantas yang lepas, penyediaan pes (dan stok) sangat membantu mempercepatkan masa memasak anda di dapur. Saya pernah memasak gulai lemak 20 minit sebelum waktu berbuka, disebabkan saya terlambat keluar dari pejabat dan terkejar-kejar bersama suami untuk mengambil anak-anak dari 2 tempat berlainan. Untuk bulan puasa kali ini saya sediakan pes (dan stok) segar dan beku.

Pes dan stok beku

Pes dan stok beku

Bagi pes cili kering kisar pula, saya sediakan cili kering yang dikisar dengan udang kering (untuk tomyam dan masakan bergoreng seperti nasi/mee goreng), cili kering kisar dengan bawang, serai dan halia (untuk sambal) dan cili kering kisar kosong. Kesemua pes ini saya bahagikan kepada dua. Ini adalah supaya pes saya tahan lebih lama kerana walaupun kita telah awet pes dengan garam, jika disimpan terlalu lama, akan menyebabkan kulapuk pada pes. Jadi sesuaikan pes dengan kegunaan masakan anda. Stok pula adalah untuk menambahkan rasa serta menyedapkan masakan. Jadi daripada menggukana bahan perasa tiruan, lebih baiklah buat stok sendiri.

Pes segar

Pes segar

3.  Masak lauk utama untuk berbuka ketika waktu sahur

Kenapa perlu masak pada waktu sahur? Pada waktu berbuka selalunya kita tidak sempat untuk masak lauk yang berat. Lagipun dengan waktu berbuka yang singkat dengan perlu bersiap untuk solat Maghrib dan kemudiannya Isyak serta Terawih, adalah mustahil untuk anda memasak lauk yang berat ketika itu (letih bekerja di pejabat belum lagi masuk cerita). Contoh, jika anda ingin makan nasi tomato bersama ayam masak merah, maka masaklah ayam masak merah itu ketika sahur dan memasak nasi ketika berbuka. Acar jelatah juga boleh disediakan pada waktu sahur dan simpanlah di dalam peti. Atau jika anda seperti saya yang suka dengan cucur udang untuk berbuka, masaklah kuah kacang dan sediakan adunan cucur udang dan simpan di dalam peti ais, balik dari pejabat, boleh terus goreng sahaja.

4.  Pastikan sinki kosong sebelum tidur

Adalah penting untuk sinki kosong sebelum tidur. Ini sesungguhnya mempercepatkan proses memasak di dapur, tambahan pula jika anda mempunyai 3 orang anak yang banyak pula meminta itu dan ini ketika anda sibuk berperang di dapur. Sekurang-kurangnya, pastikan periuk, sudip, pisau dan kuali (alatan memasak) bersih jika anda terlampau letih untuk basuh semua pinggan di dalam sinki. Tetapi, lebih baik kosongkan keseluruhan sinki, tenang sedikit jiwa nak memasak puan-puan.

5.  Bersihkan sayur lebih awal

Apabila kita makan, maka pastilah perlu kepada juadah yang lengkap. Jika makan nasi bersama lauk sahaja, minum pula air manis, adalah sangat tidak sihat sama sekali. Bagi sayur seperti sawi, saya cuma kerat kepada 2 bahagian sahaja (batang dan daun) kemudian basuh dan simpan. Apabila nak masak, cuma perlu keluarkan dan potong. Begitu juga dengan kacang buncis, bunga kobis dan brokoli. Selalunya ini hanyalah untuk porsi seminggu bagi menjamin kesegaran sayur tersebut.

6.  Bahagikan porsi bahan mentah mengikut masakan harian

Bahan basah seharusnya disediakan, dicuci dan dibahagikan mengikut porsi harian anda di rumah. Contoh, untuk sekali masak, anda akan menggunakan 2 ekor ikan tongkol. Jadi simpan 2 ekor ikan tongkol dalam satu bekas. Ini adalah memastikan bahan basah tidak dinyah beku berkali-kali. Tidak perlu pun untuk membeli bekas untuk menyimpan bahan basah (jika anda berkemampuan silakan), cukup sekadar anda guna semula aluminium foil susu/Vico/Ovaltine untuk menyimpan bahan basah. Jimat ruang dan jimat poket anda. Untuk mengelakkan kekeliruan (manalah tahu anda pun pelupa seperti saya), susun bahan basah yang sama jenis dalam satu bekas plastik. Kalau saya, saya susun ikan-ikan yang disimpan dalam ‘plastik’ susu itu dalam satu bekas plastik aiskrim. Begitu juga dengan daging, udang atau apa sahaja bahan basah yang ada. Jadi senang nak kenalpasti, bekas ini ada ikan, bekas ini bersusun daging dan seterusnya.

7. Masak lauk utama untuk dua hari berturut-turut

Aii tips macam ini pun ada? Sebenarnya puas saya fikir nak letak ke tidak. Tip ini hanya terpakai untuk masakan seperti kari, gulai dan sup sahaja. Oh ya, juga terpakai jika anda mempunyai anak-anak dan suami yang mampu untuk makan lauk utama yang sama untuk dua hari. Alhamdulillah anak-anak dan suami saya adalah manusia dalam golongan itu. Saya akan masak lauk utama itu banyak pada hari pertama, dan pada hari kedua saya cuma perlu panaskan dan tambahkan sedikit dengan lauk sampingan yang lain. Pointnya di sini adalah supaya saya tidak penat berdiri di dapur setiap hari. Jadi bolehlah pada hari yang saya ‘cuti’ memasak itu digunakan untuk melipat kain atau berlunjur kaki melayan vico ais bersama anak-anak.

Cukuplah tips untuk kali ini. Semoga menjadi manfaat kepada ibu-ibu yang ingin mengambil peluang beramal sebanyak-banyaknya di bulan puasa tanpa perlu menghabiskan masa yang lama di dapur. Juga mengurangkan pahala puasa ibu-ibu yang tiba-tiba menjadi kurang sabar dek terlampau letih dengan kerja memasak dan kerja rumah yang lain.

Selamat memasak, selamat berpuasa dan selamat berbuka.

Ummi si kembar dan adik si kembar.

Signature_edit2

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge