6 Tips Berpantang Bersalin Secara Pembedahan

Bersalin secara pembedahan bukanlah pilihan semua orang. Lebih ramai ibu-ibu yang menginginkan kelahiran secara normal kerana penjagaan luka pembedahan dan ketika berpantang adalah lebih sukar. Saya juga melahirkan si kembar saya melalui pembedahan, maka saya sangat memahami kesusahan yang dialami (saya sampaikan serik untuk mengandung dek rimas menjaga luka pembedahan, tapi keluar juga adik si kembar setahun kemudian haha..).

Recovery-after-Cesarean-Delivery

Diharapkan dengan panduan ini dapat membantu penyembuhan bagi ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan.

1.    Baring 6-8 jam selepas pembedahan tanpa bantal

Sebelum pembedahan dilakukan, ubat bius akan dimasukkan melalui tulang belakang (bius separuh). Ini menyebakan tulang belakang meregang. Oleh itu sangat digalakkan supaya baring tanpa bantal selama 6-8 jam. Lebih lama lebih bagus. Jika tidak, ibu akan mengalami kesan sampingan seperti sakit kepala yang teruk dan sesak nafas.

2.   Memakai bengkung selepas pembedahan

Perut ibu akan lambat untuk kembali ke bentuk asal dengan cepat disebabkan pembedahan. Oleh itu, perut yang masih besar menyukarkan pergerakan ibu termasuklah untuk bangun dari katil buat kali pertama. Dengan pemakaian bengkung dapat menyokong tulang belakang ibu dan menolak perut ibu naik ke atas. Ini mengurangkan beban kepada tulang belakang serta kaki sekaligus membantu ibu berjalan.

3.   Bergerak seawal yang mungkin

Disebabkan oleh ubat bius, bangun dan bergerak merupakan perkara terakhir yang ingin dilakukan oleh ibu yang mengalami pembedahan. Terutamanya bagi yang menjalani pembedahan kecemasan. Emosi tidak stabil adalah sangat tinggi. Akan tetapi, sangat penting untuk ibu cuba bangun dan bergerak perlahan-lahan selepas pembedahan. Ini adalah untuk memudahkan pengaliran darah sekaligus mempercepatkan penyembuhan badan ibu. Kuatkan semangat anda ibu-ibu. Lebih cepat anda pulih, lebih cepat untuk emosi anda stabil dan mampu memulakan penyusuan serta bonding dengan bayi anda.

4.   Mengurut dan bertungku

Ya, ibu yang bersalin secara pembedahan turut digalakkan untuk mengurut. Anda boleh memulakan sesi urutan setelah luka pembedahan anda kering. Apabila mengurut, elakkan daripada menyentuh bahagian luka pembedahan. Anda juga boleh bertungku di bahagian badan yang lain. Ini sangat membantu aliran darah yang lancar serta segala angin yang tidak perlu keluar dari badan.

5.   Mandi air herba

Ibu-ibu boleh dapatkan herba mandian di dalam uncang yang banyak dijual di kedai sekarang ini. Dengan mengamalkan mandi air herba, bukan sahaja mampu membuang angin, memberikan kesegaran kepada tubuh malah membantu menstabilkan emosi ibu. Saya mengamalkan mandi air herba ini sepanjang 44 hari (malah lebih) berpantang.

6.   Makan makanan berkhasiat dan minum air secukupnya

Adalah penting bagi ibu untuk makan makanan berkhasiat selepas pembedahan. Makanan yang sejuk dan gatal haruslah dielakkan tetapi ibu tetap perlu makan sayur (serat), ikan segar (protein) dan makan nasi atau mana-mana sumber karbohidrat yang baik. Pengambilan air juga perlu konsisten. Ini mengelakkan dehidrasi, membantu ibu kekal segar serta sangat-sangat penting untuk menggalakkan pengeluaran susu ibu.

Selamat berpantang bagi yang sudah selamat bersalin dan selamat menjalani pembedahan bagi yang menunggu hari pembedahan. Dulu saya sangat risau apabila diberitahu oleh doktor bahawasanya saya akan menjalani pembedahan, akan tetapi seorang rakan sepejabat telah menghilangkan gundah gulana di hati ini dengan mengatakan, ‘c-zer ke, normal ke, janji baby keluar dengan selamat dan ibu pun selamat, jangan bimbang sangat’.

Jadi kepada ibu-ibu yang masih berharapan untuk normal, cari ilmu sebanyaknya untuk membantu anda bersalin secara normal. Begitu juga kepada yang akan menjalani pembedahan, anda juga perlu ilmu untuk menangani keadaan anda dan bayi selepas pembedahan.

Good luck!

 

One thought on “6 Tips Berpantang Bersalin Secara Pembedahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge