5 Tips Pemakaian Bengkung untuk Ibu Bersalin Pembedahan (caesarean)

bengkung-moden-1

credit : bengkungmoden.com

Untuk ibu yang bersalin secara pembedahan, anda bebas membuat pilihan untuk memilih mana-mana jenis bengkung mengikut keselesaan anda. Ketika saya melahirkan si kembar 3 tahun yang lepas, saya memilih bengkung yang mudah, cepat dipakai dan berkesan dalam membantu pergerakan saya. Hal ini kerana saya menjangkakan yang semua orang pasti sibuk menguruskan si kembar dan saya perlu menguruskan diri saya sendiri (kerana saya menjalani pembedahan ketika dua minggu menjelang Aidilfitri). Oleh sebab itu saya memilih bengkung moden, akan tetapi anda tidak perlu mengikut pilihan saya hanya kerana saya menggunakannya. Tips yang saya akan kongikan ini tidaklah hanya tertakluk kepada bengkung moden sahaja, ia merangkumi bengkung tradisional juga.

Berikut adalah 5 tips pemakaian bengkung untuk ibu bersalin secara pembedahan.

1. Pakai bengkung selepas 24 jam pembedahan

Jika anda menggunakan bengkung moden atau strap binder atau body binder, anda boleh memakainya seperti biasa. Untuk bengkung tradisional, sila minta bantuan ahli keluarga untuk memakainya.

2. Pastikan bahagian parut/jahitan pembedahan kering sebelum memakai bengkung

Selepas mandi, lap dengan bersih dan pastikan bahagian jahitan pembedahan betul –betul kering sebelum memakai bengkung. Hal ini dapat mengelakkan daripada jangkitan kuman pada tempat jahitan itu. Ketika mengelap, jangan tekan terlalu kuat di tempat jahitan, hanya tekap perlahan-lahan sehingga kering.

3. Lapik bengkung dan atas tempat jahitan dengan tisu/kain kasa/kapas

Sebelum anda memakai bengkung, sapu minyak herba di bahagian perut, pinggang dan pinggul. Kemudian lapik beberapa helai tisu/kain kasa/kapas di atas bengkung. Baring dan letakkan lagi tisu/kain kasa/kapas di atas tempat jahitan. Ini adalah untuk menyerap peluh di bahagian badan yang memakai bengkung dan mengelakkan terjadinya jangkitan. Saya syorkan anda gunakan kain kasa, kerana tisu dan kapas selalunya akan melekat di tempat jahitan menjadikan ia kelihatan berbulu.

4. Selaraskan ikatan bengkung mengikut kesesuaian

Ikat bengkung atau strapkan (jika bengkung moden) mengikut kesesuaian. Jangan terlampau ketat. Dalam 2 minggu pertama, ikat sedikit longgar (bengkung tradisional), apabila masuk minggu ke 4 bolehla perketatkan ikatang bengkung. Untuk bengkung moden, oleh sebab ia adalah strap, maka saya memakainya supaya kejap (ketat) pada bahagian pinggang dan perut. Jadi memudahkan saya untuk bangun,berjalan dan duduk tanpa sakit yang begitu ketara pada bahagian belakang dan bawah perut.

5. Pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya 2 helai bengkung

Untuk memastikan kebersihan terjamin di sepanjang tempoh berpantang, adalah digalakkan supaya menyediakan 2 helai bengkung. Disebabkan kita memakai bengkung dalam tempoh yang lama, dan kita juga mengalami perpeluhan yang banyak, maka adalah lebih baik untuk bertukar bengkung supaya bengkung dapat dibasuh tiap-tiap hari. Kebersihan adalah sangat penting buat ibu berpantang, terutamanya ibu yang bersalin secara pembedahan.

Pada pendapat saya adalah penting untuk ibu bersalin secara pembedahan memakai bengkung. Dengan pemakaian yang betul akan membantu memudahkan pergerakan ibu dan tidak menyebabkan jangkitan pada jahitan pembedahan. Tempoh berpantang adalah masa yang paling sesuai untuk pemakaian bengkung berkesan dalam memperbaiki postur badan dan mengempiskan perut ibu.

Semoga perkongsian saya ini memberi manfaat buat ibu-ibu semua.

Selamat berpantang dan mengempiskan perut!

Rujukan info:

Kak Engku Bidan Bersalin

Bengkung Moden

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge